SUAKA Pak Ngah  
 
  Cinta Sejati 04/19/2024 11:12pm (UTC)
   
 

 CINTA SEJATI RASULULLAH S.A.W.®


H
ari ulang tahun keputeraan Rasulullah SAW atau Maulidurrasul memberi makna cukup mendalam kepada seluruh umat manusia kerana pada hari itu dunia berubah daripada kegelapan kepada cahaya Ilahi. Kelahiran Rasulullah SAW umpama lampu yang menyuluh kegelapan. Bagindalah yang menunjukkan jalan kebenaran, cara kehidupan yang sempurna dan kaedah untuk mengecapi kejayaan di dunia dan akhirat. Rasulullah SAW mempunyai peribadi yang sangat mulia. Oleh itu, Baginda diberi gelaran al-Amin, biarpun di kalangan musuh Islam sendiri. Malah, cerdik pandai, sasterawan, ahli politik, pemimpin, ahli falsafah di barat dan seluruh dunia hingga kini masih tidak dapat menafikan sumbangan Rasulullah SAW dalam membentuk masyarakat sempurna lagi syumul. Sila baca buku ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’ oleh Michael H. Hart.

Rasulullah SAW diutus bersama-sama dengan akhlaknya yang sempurna, sebagai asas moral kepada semua lapisan masyarakat. Walaupun baginda dilahirkan sebagai manusia biasa, martabatnya tiada siapa yang dapat menyamainya kerana baginda adalah pembawa rahmat ke seluruh alam, orang yang paling dihormati daripada sekalian makhluk dan penutup bagi sekalian nabi dan seorang rasul, insan kamil dan sempurna, kekasih Allah dan kekasih umat manusia yang sentiasa diingati.

Keperibadian Rasulullah SAW tentang kebenaran dan keadilan tiada tolok bandingnya. Ini kerana baginda mengajar manusia mencakupi bidang kemanusiaan, pengadilan, sains, teknologi, baik kepada manusia mahupun terhadap binatang; sistem kemasyarakatan yang sempurna; hingga kepada perkara ghaib, iaitu berita baik tentang syurga dan amaran tentang neraka yang tidak dapat dicapai oleh akal manusia. Setiap perbuatan dan amalannya adalah sunnahnya dan semuanya ini sangat penting dimanifestasikan dalam tamadun insan demi kejayaan yang abadi di dunia dan akhirat.
 
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Al-Ahzab: 21)
 
Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap.
 
Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."
 
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.
 
"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu.
 
Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Pada saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedangkan di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.
 
"Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,
 
"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"
 
"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.
 
Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
 
"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah,
 
Fatimah pun menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
 
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
 
"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.
 
Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.
 
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.
 
"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"
 
"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.
 
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.
 
"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh.
 
Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
 
"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
 
"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.
 
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.
 
"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."
 
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.
 
“Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antara kamu."
 
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
 
"Umatku, umatku, umatku"
 
Kasih Rasulullah kepada kita digambarkan Allah dalam beberapa surah. Antaranya:
 
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.( Surah at-Taubah: 128 )
Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al_maidah:118)
Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Hamba yang belajar menyintai Allah dan Rasul akan dibalas cinta mereka dengan cinta Allah. Cinta Allah yang berganda pada hambanya diiringkan dengan maghfirah, rahmat dan berkat. Cinta Allah berkekalan sepanjang hayat.
 Sedangkan nabi kekasih Allah yang dijanjikan amalnya diterima oleh Allah pun merasai kesakitan yang teramat sangat ketika menghadapi sakaratul maut. Apatah lagi kita hamba-Nya yang hina, jauh dan kerdil ini. Ya Allah, terimalah taubat kami. Jauhkanlah kami dari siksa api neraka-Mu, ya Allah..
 
------------***------------
Wahai Insan yang tidak pernah memakai sutera, yang tidak pernah tidur di atas tilam yang empuk.
Wahai Insan yang keluar dari dunia dan perutnya tidakpernah kenyang dengan roti gandum.
Wahai Insan yang memilih tikar tempat tidurnya.
Wahai Insan yang berjaga sepanjang malam tanpa tidur kerana takut sentuhan neraka Sa’ir...!
 
(Rintihan sukma Umul Mukminiin Saidatina Aisyah r.a. ketika berdiri di makam Rasulullah S.A.W.)

 

 
 
MENU UTAMA
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
WAKTU MALAYSIA
 
SOLAT HARI INI BAGI ZON 8
(Kuching, Bau, Lundu dan Sematan)
 
DIARI CERAMAH Pak Ngah
BULAN : September 2008
5 hb - Ceramah di SMK Batu Kawa
11 hb - Ceramah Puasa di Istana Negeri
19 hb - Ceramah Puasa di Masjid BDC
 
AKHBAR PILIHAN
BERNAMA
BERITA HARIAN
UTUSAN MALAYSIA
HARIAN METRO
MALAYSIA KINI
NEW STRAIT TIMES
HARAKAH DAILY
BORNEO POST
MALAYSIA TODAY
MALAYSIAN TODAY
SINCHEW-I
SINCHEW DAILY

 
PAUTAN PILIHAN
MARI HAFAZ AL-QURAN
MINDA MUSLIM SUPER
GEDUNG SOFTWARE
JALAN-JALAN CARI IMAN
PEDANG ISLAM
PANDUAN MEMBINA LAMAN WEB
MELAYU OH MELAYU
MARI BELAJAR SOLAT
KIRA ZAKAT ANDA
HAKIKAT ISLAM
UNTUKMU MUSLIMAH
WADAH UNTUK WANITA

This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free