SUAKA Pak Ngah  
 
  Jati Diri Muslim 04/23/2024 8:58am (UTC)
   
 
                           JATI DIRI MUSLIM®


Mutakhir ini kita sering dipapar dan mendengar frasa tentang JATI diri? Apakah definisi sebenar rangkai kata itu? Bagaimanakah pula jati diri itu hendak diukur? Menurut Kamus Dewan, perkataan jati, sama dengan sejati yang membawa maksud asli, murni, tulen dan tidak bercampur.

Apabila dikaitkan jati dengan sejenis tumbuhan, kita akan membayangkan sepohon pokok yang tegap, berakar tunjang yang menjunam ke dasar bumi, berbatang keras dan mahal. Tetapi, apabila kita kaitkan jati diri dengan insan, ia membawa maksud seorang manusia sempurna yang memiliki keseimbangan antara akli (fikiran), jasmani dan rohaninya.

Persoalannya, apakah jenis sukatan atau neraca yang boleh kita gunakan bagi menilai seseorang itu memiliki jati diri atau tidak? Dalam konteks ini, penulis merujuk jati diri seorang manusia berdasarkan kepada apa yang sudah dinyatakan Allah, seperti yang terkandung dalam Kitab al-Quran. Di antara ciri-ciri atau sifat insan yang memiliki mutu jati diri ialah sebagaimana maksud firman Allah dalam Surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 11.
 
Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tiada berguna Dan orang-orang yang menunaikan zakat Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela Barangsiapa mencari selain itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas
Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah yang dipikulnya dan janjinya Dan orang-orang yang memelihara solatnya Maka itulah orang-orang yang akan mewarisi (iaitu) yang akan mewarisi syurga Firdausi; mereka kekal di dalamnya.
 
Dalam membangunkan kemanusiaan insan, agama Islam lebih memfokuskan kepada pembangunan dalaman manusia itu, iaitu rohnya. Sabda Rasulullah,:
 
“Sesungguhnya, dalam jasad manusia ada seketul darah, jika ia baik, maka seluruh jasad akan menjadi baik, sebaliknya jika ia rosak, seluruh jasad akan menjadi rosak”.

Setiap manusia yang hidup di bumi Allah ini, sudah pasti tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai masalah. Sama ada masalah itu besar atau sebaliknya, bergantung kepada kemampuan seseorang individu menghadapinya. Islam membina dan membangunkan keyakinan insan melalui rangsangan dan galakan. Sabda baginda :
 
“Setiap penyakit ada penawarnya”.
 
Justeru, setiap masalah, akan ada jalan penyelesaiannya. Dalam proses penyelesaian masalah, Islam menyarankan kita agar memiliki nilai-nilai murni seperti sentiasa bersikap proaktif, berani berhadapan masalah, berfikiran positif, yakin bahawa setiap masalah itu memiliki hikmah di sebaliknya, sabar dan tenang agar tindakan yang diambil tepat dan berkesan. Di antara usaha dan ikhtiar yang dituntut oleh Islam, ialah menggalakkan kita sentiasa berdoa. Allah berfirman:
 
“Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu, sesungguhnya orang yang menyombong diri daripada menyembah-Ku, akan masuk dalam neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah al-Mukmin: 60).
Ulama mentafsir ‘menyombong diri daripada menyembah-Ku’ sebagai tidak berdoa dan tidak beribadat kepada Allah. Berdoa adalah satu ibadah, sebagaimana sabda Rasulullah:
 
“Doa itu intinya ibadat.”

Antara galakan dalam al-Quran supaya kita berdoa, adalah firman Allah:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Apabila hamba-Ku bertanya engkau mengenai zat-Ku, maka jawablah bahawa Aku amat hampir. Aku sentiasa menerima permohonan orang yang berdoa apabila mereka memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah: 186).

Doa juga adalah senjata orang beriman, tetapi sejauh manakah kita menggunakan senjata ini bagi menghadapi segala masalah yang menghantui diri kita? Marilah kita bertanya kepada diri sendiri, mudah-mudahan jawapan itu nanti, akan menjadi permulaan bagi menggerakkan seluruh jasad untuk berfikir ke hadrat Ilahi.  Tindakan sebegini akan dapat meredakan keresahan hati, seterusnya membuka pintu kepada penyelesaian masalah.

Imam al-Ghazali dalam kitab ‘Mau‘izatul Mukminin’, menggariskan beberapa tatacara amalan berdoa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah. Antara adab berdoa ialah:
1.       Memilih waktu, masa dan tempat yang sesuai, malahan terbaik, seperti berdoa pada bulan Ramadan, pada hari Jumaat iaitu di antara dua khutbah, di waktu tengah malam, serta di Masjidil Haram di Makkah
2.       Menghadapkan muka ke arah kiblat dan menadah kedua belah tangan tinggi-tinggi, dan menyapu tangan ke muka selepas selesai
3.       Merendahkan suara antara perlahan dan kuat dan tidak melampaui, sehingga nada seperti orang bersajak dan bersyair
4.       Berdoalah dengan penuh rasa rendah diri, khusyuk, mengharap dan berasa takut kalau-kalau doa tidak dimakbulkan
5.       Hendaklah bersikap tetap diri dalam berdoa dan yakin bahawa doanya akan dimakbulkan Allah.
6.       Berdoalah bersungguh-sungguh dan jangan sesekali berputus asa. Sebaik-baiknya, diulangi sehingga tiga kali.
7.       Hendaklah dimulakan dan diakhiri dengan menyebut nama Allah dan puji-pujian kepada-Nya serta mengucapkan salam ke atas Rasulullah saw
8.       Membersih dan menyucikan hati dengan banyak memohon ampun dan bertaubat sebelum berdoa.
 
Mudah-mudahan dengan menghayati adab berdoa itu, segala permintaan kita diperkenankan Allah. Bagaimanakah sikap Rasulullah menghadapi semua cabaran dan ujian Allah? Di antara perkara yang dilakukan baginda ialah sentiasa berdoa, mengadu dan bermunajat kepada Allah.  Dalam kehidupan seharian baginda, pelbagai doa menjadi amalan baginda, bermula dengan doa semasa bangun tidur sehinggalah kepada doa hendak tidur. Semua doa ini adalah warisan bernilai yang ditinggalkan baginda untuk diamalkan oleh umatnya, bagi membina jati diri.

Ibu bapa, selain perlu membanyakkan amalan berdoa untuk kebaikan anak-anak, perlu juga mendidik mereka supaya menjadikan doa sebagai amalan rutin apabila memulakan sesuatu. Manakala guru dan pendidik yang berhadapan dengan pelbagai ragam serta kerenah pelajar dan remaja, sewajarnya banyak beristighfar dan berdoa untuk menggalakkan pelajar mereka yang lemah, khususnya dalam bahasa Inggeris, sains dan matematik, supaya mampu bersaing dan yakin dengan potensi diri.

Guru-guru berperanan meyakinkan pelajar bahawa hanya dengan pertolongan dan janji Allah, usaha mereka yang bersungguh-sungguh akan dikabulkan Allah. Ajarilah pelajar supaya berdoa seperti berikut setiap kali ketika hendak mengulangkaji pelajaran, iaitu:
 
“Ya Allah, permudahkan, jangan menyusahkan” atau “Ya Allah, tidak ada sesuatu yang mudah, kecuali Engkau memudahkannya, oleh itu, mudahkan segala urusan kami”,
 
Mudah-mudahan, dengan amalan berdoa, akan membentuk generasi yang cemerlang pada masa hadapan. Sesungguhnya, amalan berdoa mengikut adab dan tatacaranya, mampu membina jati diri insan. Antara manfaat berdoa itu ialah:
1.  Meningkatkan lagi keyakinan terhadap pertolongan, rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.
2.   Mengelakkan diri daripada cepat berputus asa dan menyerah kalah.
3.       Membina keyakinan diri.
4.       Tabah dan sabar menghadapi cabaran hidup.
5.       Membina semangat juang dan daya saing yang tinggi.
6.       Membentuk disiplin diri.
7.      Mendidik dan melatih diri supaya sentiasa berusaha dan berikhtiar.
8.      Menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan keji dan lain-lain lagi.

Justeru, banyak faedah yang diperolehi dengan mengamalkan doa dalam kehidupan kerana amalan itu menjadikan manusia sentiasa berhubung rapat dengan pencipta, sedar dan insaf mengenai kekuasaan dan kebesaran Allah, di samping akur dengan kelemahan diri sendiri. Keyakinan terhadap Kekuasaan Allah dan akur akan kelemahan diri, mampu membentuk manusia menjadi tidak sombong dan bongkak ketika berada di kemuncak kejayaan, dan tidak mudah berasa kecewa apabila menemui kegagalan. Inilah ciri-ciri manusia yang memiliki jati diri. Oleh itu, amalkanlah doa dalam kehidupan bagi memiliki sifat
jati diri itu.
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ (2) وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (3) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ (4) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلاَّ عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (7) وَالَّذِينَ هُمْ ِلأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (8) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (9) أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (11)
 
 
MENU UTAMA
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
WAKTU MALAYSIA
 
SOLAT HARI INI BAGI ZON 8
(Kuching, Bau, Lundu dan Sematan)
 
DIARI CERAMAH Pak Ngah
BULAN : September 2008
5 hb - Ceramah di SMK Batu Kawa
11 hb - Ceramah Puasa di Istana Negeri
19 hb - Ceramah Puasa di Masjid BDC
 
AKHBAR PILIHAN
BERNAMA
BERITA HARIAN
UTUSAN MALAYSIA
HARIAN METRO
MALAYSIA KINI
NEW STRAIT TIMES
HARAKAH DAILY
BORNEO POST
MALAYSIA TODAY
MALAYSIAN TODAY
SINCHEW-I
SINCHEW DAILY

 
PAUTAN PILIHAN
MARI HAFAZ AL-QURAN
MINDA MUSLIM SUPER
GEDUNG SOFTWARE
JALAN-JALAN CARI IMAN
PEDANG ISLAM
PANDUAN MEMBINA LAMAN WEB
MELAYU OH MELAYU
MARI BELAJAR SOLAT
KIRA ZAKAT ANDA
HAKIKAT ISLAM
UNTUKMU MUSLIMAH
WADAH UNTUK WANITA

This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free