"GURU SEBENAR GURU"
Kita tidak payah ada ijazah dan diploma
jika sekadar hendak menjadi
guru yang kurang ajar,
biadab dan tidak sedar diri;
kita tidak payah masuk politik
sekadar hendak jadi pembangkang,
jaguh dan petualang kepada bangsa dan negara,
dan kita tidak payah menyertai kumpulan wayang kulit
jika sekadar menjadi tukang karut dan dalang mengkhianati misi, merosak visi dan organisasi.
Ingatlah
wahai saudara-saudaraku
martabat diri tidak terletak di atas kertas bernama sijil, diploma atau pun ijazah
tetapi terletak kepada jati diri kullu jasad yang berteraskan ilmu, iman, amal dan ihsan;
yang disimpul mati
dengan ikhlas, benar, jujur dan sabar;
berdasarkan kesepaduan
antara akal, bual dan amal
agar dapat menjadi amal soleh lagi muslih sebagai bekal.
Ingatlah
bahawa segala kerja dan sumbangan yang mengharapkan balas,
tidak ikhlas namanya; segala kerja dibuat yang hendakkan puji dan puja,
mencari nama maksudnya; yang paling buruk apabila antara apa yang dikatakan bertentangan dengan apa yang ada di dalam dada,
khianat namanya.
Ingatlah
rezeki, untung dan rugi, pangkat dan kedudukan,
apatah lagi melintang, menegak atau pun mendatar adalah daripada Allah s.w.t.;
sepatutnya kita bersyukur di dalam jaga dan di dalam tidur supaya lapang kelak di dalam kubur.
Ingatlah
pesanan hadis Qudsi memberi erti:
"Akulah Allah, tidak ada Tuhan lain selain Aku,
maka
barang siapa tidak sabar atas percubaan-Ku,
tidak bersyukur bagi nikmat-Ku,
dan tidak rela terhadap keputusan-Ku,
hendaklah dia mencari Tuhan
yang lain daripada-Ku."